Ringkasan Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah (Bahagian 1: Beriman kepada Allah)
Segala pujian hanya bagi Allah, selawat serta salam ke atas
Rasulullah, wa ba’du:
Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah mengutuskan para
Rasul dan menurunkan kitab-kitab dengan tujuan supaya Dialah satu-satunya (Tuhan) yang disembah, tiada sekutu bagi-Nya,
dan supaya agama dimurnikan hanya bagi-Nya. Allah berfirman:
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi akan Taghut". (Surah al-Nahl: ayat 36).
Menjaga kemurnian tauhid ialah misi utama dan terpenting para Nabi
dan Rasul serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik sehingga tiba
hari pembalasan, dan dalam usaha menyambung misi tersebut maka terbitlah
kitab-kitab tulisan para ulama dalam perbahasan tauhid, memurnikan agama hanya
kepada Allah, meninggalkan segala bidaah serta semua hal yang diada-adakan
(dalam agama).
Berikut merupakan ringkasan aqidah (beriman kepada Allah) yang wajib diimani oleh setiap Muslim berdasarkan al-Quran, al-Sunah dan kalam para ulama Salaf:
1. Pegangan kita ialah beriman kepada Allah, para Malaikat, kitab-kitab yang diturunkan, para Rasul, hari akhirat, dan ketentuan qadar sama ada baik atau buruk.
2. Beriman kepada Rububiyyah Allah s.w.t; iaitu beriman bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang mencipta, memiliki, dan mentadbir semua perkara.
3. Beriman kepada Uluhiyyah Allah s.w.t; iaitu beriman bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang sebenar dan segala sesuatu yang disembah selainNya adalah salah.
4. Beriman kepada Asma' dan Sifat Allah s.w.t, iaitu beriman bahawa Allah s.w.t mempunyai nama-nama yang baik dan sifat-sifat yang sempurna lagi tinggi tanpa tasybih dan tamtsil, dan tanpa tahrif, ta’thil dan takwil.
5. Beriman kepada Keesaan dan Ketunggalan Allah s.w.t berhubung semua perkara tersebut, iaitu beriman bahawa tidak ada sesuatupun yang menyertai atau menyekutui Allah s.w.t baik dari segi Rububiyyah, Uluhiyyah, atau Asma' dan SifatNya.
Al-Quran merupakan kitab induk kita dalam memahami aqidah. Berikut merupakan beberapa ayat daripada al-Quran dengan terjemahannya yang menceritakan tentang Allah s.w.t dan perkara-perkara yang wajib diimani oleh setiap Muslim:
Firman Allah Ta`ala:
رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَاعْبُدْهُ وَاصْطَبِرْ لِعِبَادَتِهِ ۚ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا
Beriman bahawa "Dia Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya; sembahlah Dia dan kuatkanlah semangat dalam melakukan ibadat terhadap-Nya. Adakah kamu mengetahui sesuatu yang menyamainya?"
اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُBeriman bahawa "Dialah Allah, tiada Tuhan selain-Nya, Yang tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir (sekalian makhluk), tidak mengantuk dan tidak tidur. Dia memiliki segala yang di langit dan yang di bumi. Tidak ada sesuatupun yang mampu memberi pertolongan kecuali dengan izin-Nya. Tuhan yang mengetahui segala yang ada di depan dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatupun dari ilmu-Nya kecuali dengan kadar yang dikehendaki-Nya. Luasnya kursi Allah meliputi langit dan bumi. Menjaga kedua-duanya sedikitpun tidak membebankan-Nya. Dialah Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Agung" (al-Baqarah:255).
هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ ۖ هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ السَّلَامُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ ۚ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ، هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ ۖ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Beriman bahawa "Dialah Tuhan yang tiada tuhan melainkan-Nya, Tuhan yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata. Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dialah Tuhan yang tiada tuhan melainkan-Nya, Tuhan yang memiliki setiap sesuatu, Tuhan yang terhindar dari kekurangan, Tuhan yang menjamin keamanan, Tuhan yang menyaksikan setiap sesuatu, Tuhan yang Maha Perkasa, Maha Kuasa dan Maha Besar; Maha suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. Dia Allah yang Maha Pencipta, Maha Pembuat, dan Maha Pembentuk, Tuhan yang mempunyai nama-nama yang baik. Setiap sesuatu di langit dan di bumi bertasbih kepadanya. Dialah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana". al-Hasyr: 22-24
لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۚ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ ، أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا ۖ وَيَجْعَلُ مَنْ يَشَاءُ عَقِيمًا ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ
Beriman bahawa "Allah mempunyai kekuasaan di langit dan di bumi, mencipta apa sahaja yang diingini, mengurniakan anak perempuan sahaja kepada sesiapa yang dikehendaki, dan mengurniakan anak lelaki sahaja kepada sesiapa yang dikehendaki. Atau mengurniakan kedua-duanya; lelaki dan perempuan. Dan atas kehendak-Nya Dia boleh menjadikan sesiapa sahaja mandul. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa". (al-Syuura: 49-50).
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِير، لَهُ مَقَالِيدُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Beriman bahawa "Tiada sesuatupun yang menyerupainya; dan Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Memiliki segala perbendaharaan langit dan bumi, meluaskan rezeki kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya dan membataskan, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui setiap sesuatu". (Syuura:11-12).
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Beriman bahawa "Tiada sesuatupun yang melata di atas muka bumi
melainkan Allah menjamin rezekinya, dan Dia mengetahui akan permulaan dan
penghujungnya; semuanya terdapat di dalam al-Kitab al-Mubin" (Huud:6).
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Beriman bahawa "Dia memiliki anak kunci ghaib, sesiapa pun tidak tahu akannya melainkan-Nya, mengetahui apa yang ada di daratan ataupun di laut, tiada dedaun yang gugur kecuali Dia mengetahuinya, tiada seketul biji halus di dalam kegelapan bumi, tiada yang basah dan tiada yang kering kecuali semua itu terdapat di dalam al-Kitab al-Mubin" (al-An'aam:59).
إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Beriman bahawa "Sesungguhnya Allah; hanya pada sisi-Nya sahajalah pengetahuan tentang hari Kiamat, Dia-lah yang menurunkan hujan, mengetahui apa yang ada dalam rahim; tiada seorangpun yang dapat mengetahui apa yang bakal diperolehinya esok, dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenalpasti" (Luqman: 34)
InsyaAllah, bahagian seterusnya nanti kita cuba menghayati
sifat-sifat yang diceritakan Allah dan Rasul menerusi al-Quran dan al-Sunnah.
0 comments: