Thursday, September 11, 2014

Mengapa Harus Bersedih?



Sedih (Al-Huzn)

Sedih ialah penderitaan hati disebabkan sesuatu yang menimpa, sama ada berlakunya suatu yang tidak disukai atau kehilangan suatu yang disukai. Ia satu emosi yang amat sukar dikawal, apatah lagi dielak. Di dalam Al-Qur’an Allah s.w.t ada menyebut perihal kesedihan. Firman Allah s.w.t:


وَلَا تَهِنُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَنتُمُ ٱلۡأَعۡلَوۡنَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita(terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman
."

 
 وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ
"dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka".


إِذۡ يَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحۡزَنۡ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا‌ۖ
"ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita".

Perasaan sedih juga merupakan salah satu target dan matlamat syaitan. Firman Allah s.w.t :

إِنَّمَا ٱلنَّجۡوَىٰ مِنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ لِيَحۡزُنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

"Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita"


Rasulullah s.a.w juga meminta perlindungan Allah s.w.t daripada kesedihan. Oleh sebab itu syarak menggalakkan membuat perkara-perkara yang mengelakkan kita dari bersedih. Antara yang telah diajarkan oleh baginda rasul s.a.w ialah berdoa agar menghilangkan rasa sedih dan memakan talbeenah. 

Di dalam hadith yang diriwatkan oleh Aisyah r.a apabila ada keluarganya yang meninggal dunia, para wanita berkumpul. Kemudian setelah mereka beredar kecuali keluarga dan orang-orang tertentu, beliau menyuruh untuk memasak seperiuk bubur talbeenah, kemudian dibuat pula thareed (sejenis makanan yang diperbuat daripada campuran roti dan daging), lalu dituangkan dengan bubur talbeenah tersebut, kemudian beliau berkata: Makanlah! Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bubur talbeenah itu boleh menyegarkan hati orang yang sakit dan dapat menghilangkan sebahagian dari kesedihan [Al-Bukhari].

Akan tetapi tidaklah seseorang yang bersedih itu berdosa kerana ia suatu emosi yang tidak dapat dikawal sebagaimana nabi s.a.w turut bersedih ketika kewafatan anaknya Ibrahim :

إنا بفراقك يا إبراهيم لمحزونون

"Sesungguhnya kami bersedih di atas pemergianmu wahai Ibrahim" [Al-Bukhari]



Sabda nabi s.a.w:
إن الله لا يؤاخذ على دمع العين و لا على حزن القلب
"Sesungguhnya Allah s.w.t tidak mengambil kira titisan air mati mahu pun kesedihan hati"



Perasaan sedih boleh menjadi punca pengampunan dosa kerana ia suatu bentuk musibah, dan Allah mengampunkan dosa-dosa hambanya kerana musibah yang melanda. Sabda Rasulullah s.a.w :


ما يُصيبُ المسلِمُ من نَصَبٍ ولا وَصَبٍ ، ولا همٍّ و لا حزَنٍ ، و لا أذًى ولا غمٍّ ، حتَّى الشَّوكةُ يُشاكُها ، إلَّا كفَّرَ اللهُ بها خطاياه

"Tidak ada yang menimpa seorang muslim dari rasa penat, kesakitan, kesedihan, gangguan atau kesusahan, walaupun hanya terkena duri, melainkan Allah akan ampunkan kesalahan-kesalahannya" 
[Sahih al-Adab al-Mufrad]


Allah juga telah merakamkan kata-kata Nabi Ya’qub a.s di dalam Surah Yusuf :

قَالَ إِنَّمَآ أَشۡكُواْ بَثِّى وَحُزۡنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ
"(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah"



Di antara cara-cara lain untuk mengelakkan perasaan dukacita dan sedih ketika berlaku musibah adalah dengan mengikut petunjuk Allah.
فَمَن تَبِعَ هُدَاىَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡہِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ 

"maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita"



Sheikh al-Islam Ibn Taimiyah menyebutkan bahawa boleh saja seseorang yang bersedih itu menjadi terpuji, seperti bersedih tatkala musibah menimpa saudara seislam atau kekurangan yang berlaku pada agamanya. Akan tetapi janganlah kesedihan itu tidak dikawal lantas menyebabkan putus asa, hilang sabar dan kekuatan untuk berjihad di jalan Allah. Maka itu yang dicela dalam agama.


Ada pula yang merasa sedih dan dukacita kerana tidak mampu untuk melakukan ketaatan. Ingin bersedekah di jalan Allah tetapi tidak mampu. Bercita-cita untuk mewaqafkan harta tetapi tidak mempunyai. Allah s.w.t telah merakamkan kesedihan yang berlaku pada jaisy al-‘usrah dalam Surah al-Tawbah:


تَوَلَّواْ وَّأَعۡيُنُهُمۡ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمۡعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُواْ مَا يُنفِقُونَ

"mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah)." 


Namun, Allah itu sifatnya Maha Pemurah dan Maha Kaya. Sekiranya dia berusaha sepenuhnya maka Allah s.w.t tetap akan memberi ganjaran penuh tanpa sedikit pun kurang, meskipun dia tidak melakukan ketaatan tersebut. Tiada sebab untuk bersedih. Di dalam Sahih Muslim, Jabir bin Abdullah r.a berkata :



 كنا مع النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ في غَزاةٍ . فقال إنَّ بالمدينةِ لرجالًا ماسِرتُم مسيرًا ولا قطعتُم واديًا ، إلا كانوا معكم . حبَسهم المرضُ

"Pernah kami bersama nabi s.a.w dalam peperangan, lalu baginda s.a.w bersabda : Sesungguhnya terdapat di Madinah para lelaki. Tidaklah kamu semua berjalan dan melewati suatu lembah melainkan mereka juga bersama kamu (mendapat pahala). Mereka dihalang (daripada turut serta dalam peperangan) oleh penyakit."


Di dalam hadith yang lain Abu Musa al-Asy’ari meriwayatkan bahawa nabi s.a.w bersabda :
إذا مَرِضَ العبدُ أوْ سافرَ كُتِبَ لهُ من العملِ ما كان يَعْملُ وهو صحيحٌ مُقيمٌ

"Apabila seseorang jatuh sakit atau bermusafir (lalu tidak kuat untuk beribadat) maka dituliskan baginya pahala amalan yang biasa dilakukan waktu sihat dan bermukim"

 

Maka mengapa harus bersedih?

Mengapa rasa dukacita sekiranya pahala penuh tetap direkodkan?

0 comments: